Beliau
memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Siyasah Syar'iyyah
dari Kolej Universiti Insaniah (KUIN) , Kedah pada tahun 2014. Meskipun
telah berjaya memperolehi sijil tertinggi dalam akademik, minat beliau
terhadap ilmu tidak terhenti setakat itu sahaja. Beliau meneruskan minat
mendalam dalam menuntut ilmu dengan menyambung sekali lagi pengajian di
peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pengajian Islam di UniSZA
dan berjaya menyiapkan Ph.D kedua dan bergraduat pada tahun 2016
dengan pencapaian Graduate On Time.
Di
peringkat negeri Terengganu, beliau terlibat sebagai ahli penyelidik
Program Saintis Islam Terengganu Kohort III 2017 dan ahli penyelidik
Program InES-P Negeri Terengganu 2016 bersama kumpulan penyelidik dari
Universiti Malaysia Terengganu. Juga, terlibat sebagai tenaga pengajar
program Memartabatkan Institusi Ulama/Cendekiawan Islam ke Universiti di
Jordan, anjuran Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu(MAIDAM), bagi
tahun 2016 & 2017.
Manakala
di peringkat universiti pula, selain mengendalikan tugas pengajaran
sebagaimana yang ditetapkan, kewujudan beliau sebagai Arabic native
speaker dimanfaatkan dalam program-program pengukuhan bahasa Arab
bermula tahun 2015 hingga kini. Selain itu, sebagai anak jati Palestin
kepakaran beliau berkaitan maklumat yang tepat dan terkini mengenai
isu-isu Palestin , disalurkan kepada komuniti melalui siri-siri wacana
berkaitan al-Aqsa dan Baitul Maqdis bagi memberi kesedaran dan kefahaman
kepada seluruh lapisan masyarakat berkaitan kepentingan dan keutamaan
bumi barakah tersebut.